SINGAPURA: Pemerintah Singapura mengetatkan kawalan pergerakan susulan peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti, umum Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Jumaat.

Menurut Kementerian Kesihatan, beberapa langkah kawalan yang dilabelkan sebagai ‘Fasa 2’ berkuat kuasa mulai 16 Mei hingga 13 Jun.

“Kami menggalakkan semua orang untuk duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu,” jelas Lawrence.

Ketika ditanya sama ada Singapura akan melaksanakan semula circuit breaker, Lawrence memaklumkan bahawa langkah-langkah diperketatkan mungkin kembali jika situasi tidak beransur pulih.

Bermula Ahad ini, had berhimpun secara berkumpulan dikurangkan kepada dua orang berbanding lima orang sebelum ini.

Penduduk juga tidak dibenarkan makan di dalam premis, sama ada restoran, pusat penjaja atau medan selera.

Malah, majlis perkahwinan turut dilarang kerana dikategorikan sebagai persekitaran yang berisiko tinggi mencetuskan penularan jangkitan.

Upacara pernikahan serta majlis agama lain bagaimanapun masih boleh dihadiri sehingga 100 orang jika ujian saringan dijalankan sebelum upacara berlangsung, dan 50 orang jika tanpa saringan.

Selain itu, setiap isi rumah hanya dibenarkan menerima dua pelawat setiap hari, berbanding lima orang sebelum ini.

Namun, datuk dan nenek yang menjaga cucu-cicit tidak tergolong dalam had pelawat bagi setiap isi rumah.

Dalam masa yang sama, majikan disarankan agar melaksanakan perintah bekerja dari rumah bagi pekerja-pekerja.

Beberapa aktiviti lain yang tidak dibenarkan termasuk kelas senaman dan aktiviti sukan dalam bangunan secara berkumpulan atau individu.

Bagaimanapun, jelas Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, langkah-langkah kawalan mungkin berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

Terbaharu, kluster di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi merekodkan 46 kes COVID-19 setakat ini, sekaligus menjadi kluster terbesar daripada 11 kluster aktif di Singapura.