JOHOR BAHRU: Seramai 11 sahabat terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan mengedar dadah seberat lebih 19 kilogram (kg) di Skudai, di sini bulan lalu.

Tertuduh terdiri daripada Yek Zhu Jie, 19; How Jia Lerk, 22; Eva Chua Min, 19; Kenny Loo Yee Han, 24; Tan Chee Seng, 21; Chong Chew Nam, 32; Ooi Zhi Wei, 27; Goh Yoong Cheng, 30, dan Phang Jing Yi, 22, manakala dua lagi remaja berusia 17 tahun.

Masing-masing hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Shaarmini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan bagi semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis Methyleneddioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 18.8kg, ketamin (558 gram) dan nimetazepam (52 gram).

Perbuatan itu dilakukan secara bersama-sama pada jam 2 pagi di sebuah rumah Jalan Bukit Skudai 6, Taman Bukit Skudai, 23 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan.

Kes dikendalikan oleh Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala hanya tiga tertuduh sahaja diwakili peguam bela.

Muhammad Mohd Nasir mewakili Chew Nam manakala Datin Freda Sabapathy mewakili Chua Min dan Chew Pong Him mewakili Jia Lerk.

Mahkamah memutuskan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin, manakala 2 November ini ditetapkan sebagai tarikh sebulan semula kes bagi serahan laporan kimia. - Sinar Harian