Skip to main content

Politik

DAP Perak komited kekalkan kerajaan negeri hingga tamat penggal - Nga

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan membolehkan negeri itu mencatat belanjawan lebihan selama lima tahun berturut-turut hasil kestabilan politik, tatakelola baik serta kepimpinan berintegriti. - Gambar fail
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan membolehkan negeri itu mencatat belanjawan lebihan selama lima tahun berturut-turut hasil kestabilan politik, tatakelola baik serta kepimpinan berintegriti. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • DAP Perak menegaskan sokongan berterusan kepada kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat diteruskan sehingga tamat penggal.
  • Kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional membolehkan Perak mencatat belanjawan lebihan lima tahun berturut-turut hasil kestabilan politik dan tadbir urus baik.
  • Belanjawan 2027 Perak berjumlah RM1.693 bilion dibentangkan, dengan peruntukan pembangunan syiar Islam meningkat dan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam diumumkan.
Advertisement

IPOH: DAP Perak menegaskan komitmen untuk terus menyokong kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan sehingga tamat penggal pada akhir tahun depan.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan membolehkan negeri itu mencatat belanjawan lebihan selama lima tahun berturut-turut hasil kestabilan politik, tatakelola baik serta kepimpinan berintegriti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata momentum pentadbiran sedia ada perlu dikekalkan supaya agenda dalam Belanjawan 2027 Perak dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa gangguan spekulasi politik.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2027 Perak oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengulas mengenai spekulasi kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selepas persidangan, Nga berkata Menteri Besar wajar meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri sehingga tamat penggal.

Advertisement

Beliau berkata kerjasama Kerajaan Perpaduan di Perak turut membuktikan komitmen membela kepentingan masyarakat berbilang kaum apabila peruntukan pembangunan syiar Islam meningkat daripada RM15 juta kepada RM18 juta tahun depan manakala hal ehwal bukan Islam terus diberi perhatian.

Nga berkata pencapaian itu menepis dakwaan kononnya kedudukan Islam dan kebajikan penjawat awam akan terjejas susulan penyertaan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, beliau berkata pemberian bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan warga perkhidmatan awam.

Terdahulu, Saarani membentangkan Belanjawan 2027 Perak berjumlah RM1.693 bilion merangkumi anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.1 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM593 juta.

Perak adalah antara negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Negeri itu mempunyai 59 kerusi DUN dengan BN memiliki sembilan kerusi, PH pula menduduki 24 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 26 kerusi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement