12 ahli baharu dilantik ke MPPN bagi penggal 2025-2027 - KPN

Pelantikan itu diumumkan pada mesyuarat MPPN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini. - Foto FB Aaron Ago Dagang
PUTRAJAYA: Sebanyak 12 ahli baharu dilantik ke Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) bagi penggal 2025-2027 terdiri daripada tokoh masyarakat, ahli badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, penggiat seni budaya, tokoh korporat serta wakil dari Sabah dan Sarawak.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melantik 12 ahli baru ke Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) bagi penggal 2025-2027 dari pelbagai bidang termasuk tokoh masyarakat, NGO, akademik, dan wakil Sabah serta Sarawak.
- MPPN ditubuhkan untuk memberi nasihat kepada kerajaan berkenaan isu-isu perpaduan, menyatukan nasionalisme, dan mencadangkan penyelesaian kepada cabaran perpaduan.
- Inisiatif yang telah dibincangkan termasuk Pembangunan Dasar Perpaduan Negara, Pelan Tindakan Perpaduan Negara Tahun 2021-2030, serta usaha-usaha pelaksanaan Rukun Negara dalam pelbagai program untuk memperkukuhkan keharmonian dan kestabilan negara.
Turut dilantik ialah Pengerusi Kebudayaan Dayak Cultural Foundation Prof Datu Dr Neilson Ilan Mersat serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Women's Institute of Management Ainon Kuntom.
KPN memaklumkan MPPN ditubuhkan bertujuan menasihati kerajaan dalam hal-ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan, usaha-usaha penyatuan nasional daripada pelbagai sudut dan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk menangani isu dan cabaran perpaduan.
"Sepanjang 2020 hingga 2025, sebanyak lapan mesyuarat MPPN dilaksanakan bagi membincangkan pelbagai isu dan inisiatif yang telah pun diangkat sehingga menjadi dasar atau pelan kerajaan," menurut kenyataan itu.
Antara inisiatif itu ialah Pembangunan Dasar Perpaduan Negara, Pembangunan Pelan Tindakan Perpaduan Negara Tahun 2021-2030 serta Pelaksanaan Lafaz Ikrar Rukun Negara dalam majlis rasmi kerajaan dan sesi pembukaan sidang Parlimen. Turut merangkumi ialah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut meliputi Modul Penghayatan Rukun Negara dan Program Gerak Integrasi Perpaduan MADANI serta Pelaksanaan Semula Program Latihan Khidmat Negara.
Aaron dalam kenyataan sama berkata KPN telah diberikan mandat untuk menerajui Tonggak D1 iaitu Pembentukan Negara Bangsa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Beliau berkata penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah negara bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh demi menjamin keharmonian, keamanan serta kestabilan negara.
"KPN juga sedang dalam usaha merangka Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa dan akan diikuti dengan penganjuran Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada tahun hadapan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



