GERIK: Seorang suri rumah di Jalan Tok Baling, Kampung Bongor di sini berdepan detik cemas apabila kawasan kebun berhampiran dengan rumahnya diancam sekumpulan gajah liar pada Rabu lepas.
Siti Rasidah Abd Lateh, 43, berkata beliau menyedari sekumpulan gajah membuat bising dan merosakkan tanaman getah serta pisang di kebunnya kira-kira 7 malam.
“Suami saya bertindak membaling mercun beberapa kali ke arah kumpulan gajah itu tetapi tidak diendahkan dan kami menghubungi pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.
“Sebelum ini pernah nampak gajah tetapi cuma seekor. Saya tak pernah jumpa sebanyak ini,” katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di kampung berkenaan hari ini.
Ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu berkata beliau pernah menerima aduan berkaitan kehadiran hidupan liar lain, termasuk harimau yang didakwa mengganggu ternakan penduduk.
“Kami risau kerana gajah itu datang secara berkumpulan. Harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan supaya keselamatan penduduk terjamin,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak Mohd Taufik Abdul Rahman berkata hasil pemantauan, pihaknya mendapati terdapat 12 gajah liar di Kampung Bongor.
Beliau berkata kesemua gajah yang dipindahkan secara berperingkat dari kampung itu akan ditempatkan di habitat asal haiwan liar berkenaan, yang jauh dari penempatan manusia.
“Kesemua gajah dewasa dan anak gajah yang ditemui itu dianggarkan berusia kira-kira satu tahun setengah sehingga 35 tahun,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Taufik berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk Kampung Bongor mengenai kehadiran gajah liar di kawasan mereka sehingga menyebabkan ketakutan dan kemusnahan hasil tanaman.
Beliau berkata operasi pemindahan gajah liar itu dilaksanakan sejak Isnin lepas menggunakan dua gajah denak betina, iaitu Indah dan Suria.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Temengor Datuk Salbiah Mohamed berkata konflik gajah dan manusia di daerah Hulu Perak bukan perkara baharu kerana ia telah berlarutan sejak beberapa tahun lepas.
“Keadaan itu berlaku kerana kebanyakan kampung terletak berhampiran kawasan hutan simpan yang menjadi habitat semula jadi haiwan berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata cadangan untuk mewujudkan santuari gajah di Gerik sangat penting bagi memudahkan operasi pengurusan dan pemindahan haiwan itu pada masa depan.
-- BERNAMA