PUTRAJAYA: Sebanyak 12 kes COVID-19 subvarian Arcturus dilaporkan di Malaysia setakat ini, dengan kesemuanya bergejala ringan dan stabil.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah kes itu, sebanyak enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor manakala, dua lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau berkata subvarian tersebut yang dikesan sejak Mac lalu, tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan dan hospital, selain keadaan jangkitan masih terkawal.

"Penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian XBB1.16 (Arcturus) adalah lebih rendah daripada subvarian XBB.1.5 dan varian/subvarian lain yang telah dilaporkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Dr Zaliha lagi, subvarian di bawah famili varian Omicron itu terbentuk hasil gabungan atau rekombinan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75.

Sehingga 2 April lepas, ujar beliau ia telah dikesan sekurang-kurangnya di 31 buah negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskannya sebagai Variant of Interest (VOI) sejak 17 April 2023.

"Ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus SARS-CoV-WHO telah menilaikannya sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan,” tambah beliau.

Mengenai situasi COVID-19 dalam negara, Dr Zaliha berkata kes terkini yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 telah turun sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada 5,149 kes pada ME 15/2023 kepada 4,817 kes.

Beliau berkata varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular dan sehingga kini sebanyak 70.97 peratus (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes yang dijangkiti, dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan VOI jenis varian Omicron dan subvariannya.

KKM, jelas beliau lagi akan terus memantau situasi dan varian atau subvarian COVID-19 di dalam dan luar negara, selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus COVID-19 dengan selamat.