BEIRUT: Ketua Hezbollah Naim Qassem pada Khamis menolak hasil rundingan langsung antara Lubnan dan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan sempena ulang tahun kematian bekas Pemimpin Tertinggi Iran Ruhollah Khomeini, Qassem berkata hasil rundingan itu “ditolak sepenuhnya oleh sebahagian besar rakyat Lubnan.”
Beliau berkata persefahaman gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu mencerminkan visi AS dan Israel terhadap masa depan Lubnan serta bertujuan meletakkan negara itu di bawah apa yang disifatkannya sebagai “projek Israel Raya”.
Kenyataan bersama Lubnan-AS-Israel yang dikeluarkan awal Khamis memaklumkan Beirut dan Tel Aviv bersetuju dalam rundingan di Washington untuk melaksanakan gencatan senjata berdasarkan penghentian sepenuhnya serangan Hezbollah dan pengunduran semua anggota kumpulan itu dari kawasan selatan Sungai Litani.
Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata AS akan menentukan masa dan mekanisme pelaksanaan gencatan senjata itu, yang boleh bermula dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan.
Ketua Hezbollah itu menuduh Israel cuba “mencapai secara politik apa yang gagal dicapainya secara ketenteraan.”
Beliau menambah penempatan Israel di utara negara itu “tidak akan selamat” selagi kampung di Lubnan terus diserang.
“Kami hanya menumpukan kepada usaha menamatkan pencerobohan, menjamin gencatan senjata dan memastikan pengunduran Israel,” katanya.
Qassem menegaskan sebarang gencatan senjata mesti terpakai di seluruh wilayah Lubnan dan selagi pendudukan Israel berterusan, “penentangan akan diteruskan.”
Israel menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya sejak beberapa dekad lalu dan sebahagian lagi dirampas semasa konflik 2023-2024. Dalam serangan semasa, tentera Israel mara lebih 10 kilometer ke wilayah Lubnan, menandakan kemaraan paling jauh sejak 2000.
Lebih 3,500 orang terbunuh dan lebih 10,000 cedera dalam serangan Israel di seluruh Lubnan sejak 2 Mac, menurut pihak berkuasa Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU