PUTRAJAYA:Sebanyak 1,295 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan pertambahan tujuh lagi kes kematian baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes sembuh pula sebanyak 1,052 dengan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 72,733.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 429 kes iaitu 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya semasa sidang media pada Rabu.


Dalam pada itu katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan mencecah 14,751 kes.

Jelasnya, 113 kes pula sedang dirawat di ICU, 53 kes memerlukan bantuan pernafasan dan KKM mengesan lapan lagi kluster baharu.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kluster baharu adalah Kluster Puncak Galaksi melibatkan daerah Kuala Selangor dan Klang di Selangor, Kluster Bukit Punai di Kota Kinabalu, Sabah, Kluster Tapak Bina Permai di Lembah Pantai dan Kluster Tapak Bina Mahahari di Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kluster baharu lain adalah Kluster Tapak Bina Laut di Lembah Pantai, Cheras dan Kepong di Wilayah Persekutuan, Kluster Cahaya Mahsuri di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian di Johor, Kluster Seri Tasik di Perak Tengah dan Kinta di Perak dan Kluster Inten di Kuantan, Pahang.

Katanya lagi, Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 481 kes diikuti Sabah, 268 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (232 kes), Johor (105 kes) dan beberapa negeri lain mencatat bawah 100 kes.