Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis mengesahkan 13 kes individu dalam siasatan (PUI) yang dilaporkan di Miri sebagai kes pesakit 'severe acute respiratory infection' (SARI) dan 'influenza-like illness (ILI)

Menurut pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kesemua pesakit ini melalui saringan mengikut protokol pemantauan COVID-19.

“Ini adalah untuk menentukan sama ada mereka mempunyai gejala COVID-19 atau sebaliknya.

“Dalam masa sama, ia juga sebagai langkah berwaspada,” jelasnya dalam sidang media harian JPBN.

Terdahulu, Miri digemparkan dengan berita tidak sahih berkenaan 13 kes PUI COVID-19 yang diuar-uarkan sebagai positif di mana ia mencetuskan kebimbangan orang awam.

Jelas Uggah, ia berpunca daripada kekeliruan orang awam berdasarkan pengklasifikasi kes PUI di bandar tersebut.

Dalam laporan terbaharu yang diterima oleh Uggah, sehingga Khamis jumlah keseluruhan bagi PUI di bandar tersebut adalah 18 kes dan kesemuanya disahkan sebagai kes pesakit SARI dan ILI.