HULU TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menahan 13 penunggang motosikal 'motocross' yang menceroboh Hutan Simpan Tembat, Kuala Berang di sini, untuk menjalankan aktiviti sukan lasak.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, kesemua lelaki berusia antara 32 hingga 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 petang pada Khamis lepas.

Menurut Roslan aktiviti berkenaan dipercayai telah dijalankan tanpa sebarang permit dan kebenaran pihaknya.

Katanya, pihaknya turut menyita 13 motosikal pelbagai model untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya di sini, hari ini.

Roslan berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi berkaitan menjalankan operasi pemantauan bersepadu secara berterusan bagi mencegah aktiviti pencerobohan hutan di negeri itu.