Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 131 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 112 individu dikompaun, 17 direman manakala dua lagi individu dijamin.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan/ catitan keluar masuk, langgar perintah kuarantin, premis beroperasi lebih masa, premis beroperasi tanpa lesen perniagaan, dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

"Sebanyak 2,829 pasukan pematuhan melibatkan 12,628 anggota telah membuat pemantauan di 3,897 pasar raya, 5,138 restoran serta 1,496 penjaja, 1,440 kilang, 3,755 bank dan 723 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,419 terminal pengangkutan darat, 225 terminal pengangkutan air serta 97 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, 18 individu ditangkap melibatkan empat tekong dan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) sejak semalam (5 September 2020).

Pihak berkuasa juga, kata beliau, turut merampas sebuah bot dan empat kenderaan darat dalam operasi itu.

"Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," ujarnya.