1,345 projek infrastruktur, penyelenggaraan di Negeri Sembilan babit RM431 juta

Arul Kumar meninjau penurapan jalan baharu di Seremban 2 hari ini. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Sebanyak 1,345 projek infrastruktur dan penyelenggaraan dilaksanakan di Negeri Sembilan melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan keseluruhan RM431 juta dari 2020 hingga tahun lepas.
Ringkasan AI
- 1,345 projek infrastruktur dan penyelenggaraan dilaksanakan di Negeri Sembilan melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan RM431 juta dari 2020 hingga tahun lepas.
- Majlis Bandaraya Seremban mencatatkan pelaksanaan tertinggi dengan 522 projek berjumlah RM276 juta, diikuti oleh Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol, dan lain-lain.
- Peranan PBT sangat penting dalam menangani aduan rakyat serta memastikan pelaksanaan projek infrastruktur berkesan, tetapi sokongan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan negeri turut diperlukan bagi kesejahteraan rakyat.
"Antara projek itu ialah pembaikan jalan rosak, penyelenggaraan dan naik taraf longkang, penstabilan cerun serta naik taraf kemudahan awam," katanya kepada pemberita selepas meninjau penurapan jalan baharu di Persiaran S2/F Seremban 2 di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang Nicole Tan.
Arul Kumar berkata kesemua projek itu melibatkan peruntukan antaranya daripada PBT, Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia, kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Beliau berkata peranan PBT sangat penting mengambil kira lebih 70 hingga 80 peratus aduan serta isu rakyat berkait rapat dengan bidang kuasa mereka menjadikan pihak terlibat perlu sentiasa proaktif dalam memastikan aduan dan penambahbaikan dilaksanakan secara berkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata kutipan hasil PBT secara keseluruhannya masih belum mencukupi untuk menampung sepenuhnya keperluan kerja infrastruktur.
"Justeru sokongan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan projek demi kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


