KEPALA BATAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang  merekodkan 135 kes penderaan kanak-kanak di negeri itu dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengarahnya, Zakaria Taib berkata, berdasarkan statistik,  88 kes atau 65.2 peratus adalah penderaan seksual, manakala 39 kes (28.9 peratus) penderaan fizikal, selain lapan kes (5.9 peratus) penderaan emosi.

Beliau berkata, statistik berkenaan mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu.

Katanya, antara faktor peningkatan dipercayai disebabkan gangguan emosi ibu bapa yang mungkin berdepan masalah kewangan, selain hilang pekerjaan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.

"Kita nampak statistik hingga Ogos 2022 ini meningkat sedikit berbanding tahun lepas.

"Antara faktor yang menyebabkan peningkatan ini... kalau dulu mungkin PKP, jadi kanak-kanak dengan ibu bapa... saya rasa mungkin emosi ibu bapa terganggu dengan tidak ada pendapatan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Darus.

Program tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan serta perlindungan kepada kanak-kanak  mengenai jenayah seksual dalam talian.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya turut memandang serius mengenai jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak dan berharap ia dapat dibanteras .

Jelasnya, eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat terutamanya melibatkan kesalahan pornografi kanak-kanak yang melibatkan perkongsian dan capaian kepada bahan berkenaan.

Katanya, semua pihak perlu memandang serius kesan buruk penggunaan gajet dan penyalahgunaan media sosial yang menyumbang kepada kes jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

"Ibu bapa perlu peka dan mengawal penggunaan gajet bagi mengelakkan perkara ini berlaku, misalnya menetapkan penggunaannya mengikut jadual.

"Kanak-kanak perlu diberi kefahaman berkenaan penggunaan media sosial secara bijak dan selamat serta pendedahan mengenai bahaya penggunaannya yang tidak terkawal," katanya.