MALAYSIA
138 kantin sekolah agama di Johor bakal terima sijil halal menjelang Disember 2025

Jumlah pengiktirafan halal itu merangkumi 50 kantin sekolah Gred A dan 88 kantin sekolah Gred B bagi pelaksanaan Fasa Pertama. - Gambar hiasan/Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 138 kantin di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) bakal menerima pengiktirafan halal menjelang Disember depan, selaras dengan pelaksanaan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata jumlah itu merangkumi 50 kantin sekolah Gred A dan 88 kantin sekolah Gred B bagi pelaksanaan Fasa Pertama.
Beliau berkata selebihnya 437 sekolah Gred C pula akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan.
"Langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 500 sijil halal baharu menjelang akhir tahun ini sebagai permulaan ke arah mencapai 5,000 pensijilan halal baharu menjelang 2030."Usaha berfokus ini bukan sahaja bertujuan mempertingkatkan tahap pematuhan piawaian halal di peringkat sekolah, tetapi turut menyasarkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pengusaha kantin, kafeteria dan penyedia makanan di jabatan serta agensi kerajaan negeri," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga merancang untuk memperluas kempen pensijilan halal kepada sektor swasta termasuk peniaga dan usahawan sebagai sokongan kepada pembangunan ekosistem halal lebih menyeluruh di Johor.
Sehingga kini, Johor mencatat sebanyak 1,200 pemegang sijil halal dan menyasarkan peningkatan jumlah, terutamanya dalam konteks pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Halal bukan sahaja menjadi tuntutan agama bagi umat Islam, malah telah diiktiraf sebagai tanda aras kepada tahap kebersihan, pengurusan dan integriti perniagaan yang tinggi.
"Fakta ini turut mendapat sokongan kukuh daripada usahawan bukan Islam yang juga antara pemegang sijil halal aktif di Johor dan seluruh Malaysia," katanya.
Beliau berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) kini sedang merangka kerangka permohonan pensijilan halal yang lebih mesra rakyat, pantas serta tidak membebankan pemohon.
Mohd Farid berkata imej permohonan halal yang sering dikaitkan dengan kelewatan dan kos tinggi perlu diperbetulkan menerusi reformasi sistem yang lebih cekap dan berdaya saing.
Kerajaan negeri yakin, langkah memperkemas sistem pensijilan halal ini akan menjadikan Johor sebagai penanda aras nasional dalam membangunkan ekosistem halal yang berintegriti, mampan dan inklusif menjelang 2030.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami