BUKIT MERTAJAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap lapan premis perindustrian dengan mengeluarkan notis arahan manakala enam lagi premis disyorkan untuk dikompaun dalam Ops Gempur di kawasan Lembangan Sungai Juru di sini baru-baru ini.
JAS Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 14 kilang perindustrian dalam operasi dari 14 hingga 18 Sept lepas, dengan fokus utama terhadap premis yang berpotensi menghasilkan pencemaran tinggi.
“Sebanyak lapan premis dikeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala enam syor kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Premis yang dikenakan tindakan kompaun akan disiasat kerana gagal memberitahu Ketua Pengarah Alam Sekitar mengenai kategori dan kuantiti baharu buangan terjadual yang dikeluarkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pengeluaran buangan berkenaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
JAS Pulau Pinang memaklumkan tindakan turut melibatkan kesalahan kegagalan menyimpan buangan terjadual dalam bekas yang sesuai dan tahan lasak serta mampu mencegah tumpahan atau kebocoran ke alam sekeliling.
Menurut JAS Pulau Pinang, kilang-kilang yang dikenakan kompaun itu turut disiasat kerana gagal melabel dengan jelas buangan terjadual yang dihasilkan.
Kenyataan itu memaklumkan operasi bersepadu yang fokus kepada Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual dan Premis Yang Bukan Ditetapkan itu melibatkan 15 anggota penguat kuasa jabatan berkenaan.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang.
-- BERNAMA