KUALA NERUS: Sebanyak 14 projek bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Terengganu bernilai RM34 juta berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata pencapaian itu sebahagian daripada usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan projek pembangunan dan penyelenggaraan fasiliti pendidikan di negeri berkenaan dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan atau lebih awal.
“Untuk makluman, keseluruhan projek Kementerian Pendidikan di negeri Terengganu yang diselenggara dan diurus oleh JKR pada tahun ini berjumlah 111 projek dengan nilai keseluruhan RM302 juta. Kita sedang berusaha memastikan keseluruhan 111 projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual oleh JKR Negeri Terengganu kepada Kementerian Pendidikan, yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Jembal, di sini hari ini.
Ahmad berkata antara usaha utama JKR melibatkan penyelenggaraan fasiliti bangunan pendidikan serta pembinaan bangunan pendidikan bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat digunakan mengikut keperluan.
Penggunaan kaedah modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) menjadi antara faktor utama yang membolehkan projek berkenaan disiapkan lebih awal.
“Selain itu, ia turut disebabkan kecekapan pegawai-pegawai JKR pada peringkat daerah, negeri dan pusat yang memastikan segala projek untuk kepentingan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik. Sekolah akan dibuka pada awal tahun depan, maka segala kerja perlu disiapkan pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata faktor ketiga adalah pemilihan kontraktor yang mempunyai rekod prestasi baik bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut jadual.
“Kita tidak memilih kontraktor yang bermasalah. Itu antara tiga punca utama projek dapat disiapkan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, JKR Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kejayaan menyiapkan projek lebih awal daripada jadual membolehkan kemudahan serta ruang pembelajaran digunakan segera oleh pihak sekolah, sekali gus mengoptimumkan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan, JKR Negeri Terengganu kini menyelia 111 projek KPM bernilai RM302 juta yang merangkumi pembinaan dewan serba guna terbuka berbumbung di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13, Program Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi serta penyelenggaraan bersepadu prasarana sedia ada.
Skop berkenaan turut meliputi pembinaan bilik darjah tambahan menerusi Inisiatif Quick Win Cakna MADANI, yang menggunakan kaedah modular dan IBS sebagai persediaan strategik kemasukan murid tahun satu bagi sesi persekolahan 2027.
Untuk tempoh Januari 2025 hingga Ogos 2026, JKR Terengganu berjaya menyiapkan 37 projek bernilai RM85 juta dengan rekod penyiapan kumulatif awal sebanyak 2,697 hari, iaitu setiap projek disiapkan secara purata 72 hari lebih awal daripada jadual.
Pencapaian berkenaan dilihat penting dalam menyokong sasaran kerajaan untuk merealisasikan dasar persekolahan satu sesi menjelang 2030, khususnya menerusi penyediaan infrastruktur pendidikan yang mencukupi dan berkualiti.
JKR berkata kejayaan pematuhan masa dan kualiti projek berkenaan turut mencerminkan tahap kecekapan tadbir urus awam serta ketelusan pengurusan peruntukan yang selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Menurut kenyataan itu, kerjasama erat antara JKR dan KPM akan terus diperkasakan bagi memastikan penyediaan prasarana pendidikan yang mampan, selamat dan berkualiti tinggi menjadi keutamaan demi menyokong pembangunan modal insan negara.
-- BERNAMA