Sebanyak 74,335 kes dengan 143 kematian akibat denggi dilaporkan dari Januari sehingga September tahun ini sekali gus menjadikannya jumlah kes dan kematian denggi tertinggi yang pernah dilaporkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menteri Kasihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, sehubungan itu, Kementeriannya telah melaksanakan pelan tindakan khas untuk pencegahan dan kawalan denggi iaitu Pelan Tindakan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi 2014.

"Pelan ini dipersetujui Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mula dilaksanakan bermula 14 Julai 2014 di tiga negeri yang menyumbang kes denggi tertinggi iaitu Selangor, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan dan diperluas ke Kelantan bermula 17 Ogos 2014.

"Ia merupakan tindakan bersepadu pencegahan dan kawalan denggi melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian lain iaitu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri serta semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan yang lain," katanya.

Subramaniam menjawab soalan Datukn Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN, Kulim Bandar Baharu) yang meminta jumlah mangsa dan kes kematian terkini berbanding tahun 2013 selain langkah-langkah drastik yang diambil Kementerian untuk mengatasinya.

Jelas Subramaniam, Kementeriannya juga sudah meningkatkan pengesahan dan notifikasi kes denggi dengan menggunakan Dengue Clerking Sheet serta Dengue Rapid Test Kit di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta.

"Kita turut meningkatkan kualiti pengurusan kes denggi dengan perkhidmatan klinik luar waktu operasi dan mengguna rekod pemantauan kes denggi di hospital, klinik swasta dan Kerajaan.

"Kita turut mengadakan mobilisasi pasukan kawalan denggi daripada negeri lain ke daerah di Selangor bagi mempertingkatkan keberkesanan aktiviti kawalan terhadap kes dan kawasan wabak denggi yang dilaporkan. Ia melibatkan 151 pasukan dengan 420 anggota selain langkah-langkah lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Subramaniam turut meminta Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memainkan peranan yang penting dalam usaha menangani demam denggi termasuk memberi perhatian dalam memastikan pengurusan sisa pepejal.

"Perkhidmatan pungutan mesti dibuat secara berjadual dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Ini bagi mengelakkan berlakunya longgokan sampah yang banyak dan mencemari persekitaran serta boleh menjadi tempat pembiakan Aedes," jelasnya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri dan PBT juga perlu menyediakan sumber yang mencukupi samada dari segi peruntukan kewangan dan anggota pekerja untuk melaksanakan aktiviti Pencegahan dan Kawalan Denggi dan penyakit berjangkit yang lain.