SHAH ALAM: Sebanyak 15 pusat Dialisis Mesra Selangor bakal beroperasi tahun hadapan dengan pertambahan 10 pusat baharu bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata setakat ini lima pusat dialisis dikenali sebagai Pusat Dialisis Rakyat telah beroperasi secara percuma sejak 2010 dan kini dijenamakan semula sebagai pusat Dialisis Mesra Selangor.

Beliau berkata untuk penambahan pusat berkenaan, ia akan dimulakan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) khususnya perumahan kos rendah, antaranya di Klang, Ampang dan Selayang.

"Dianggarkan setiap bulan sekitar 200 orang pesakit akan menerima manfaat di setiap pusat dialisis yang akan dibangunkan berdasarkan rekod pesakit di pusat dialisis sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Penyampaian Sijil kepada Sukarelawan Yayasan Mesra Selangor (YMS), di sini hari ini.

Terdahulu, Rodziah menyaksikan pemeteraian tiga MoU antara anak syarikat kerajaan negeri, YMS dengan tiga rakan strategik iaitu Gedung Penawar Sdn Bhd untuk program Dialisis Mesra Selangor; mudahamal.com bagi program Mesra Qurban dan Noble Care Malaysia Sdn Bhd bagi program Pusat Mesra Wargamas.

Beliau berkata program Mesra Qurban bertujuan mewujudkan platform bagi masyarakat membeli lembu atau kambing bagi ibadah korban, akikah atau kenduri, yang akan diuruskan oleh YMS secara khidmat dari pintu ke pintu bermula 8 Mei ini.

Sementara itu, bagi program Pusat Mesra Wargamas, dijangka lima pusat penjagaan dibina bagi perkhidmatan menjaga mereka yang mengidap penyakit terminal dan dementia.

-- BERNAMA