Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan menegaskan pendidikan nilai dan pembentukan karakter perlu bermula sejak prasekolah untuk membentuk generasi beradab dan berempati.
- Modul Aulad Sejahtera diperkenalkan di Negeri Sembilan sebagai usaha menangani gejala sosial dan memperkukuh jati diri anak-anak bermula peringkat prasekolah.
- Seramai 8,365 murid prasekolah KPM di Negeri Sembilan bakal menerima manfaat melalui pendekatan yang menekankan adab, nilai murni dan kesejahteraan emosi.
KUALA LUMPUR: Pendidikan nilai dan pembentukan karakter perlu bermula sejak peringkat prasekolah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata pendidikan yang baik bukan hanya mengenai mengajar anak-anak membaca, menulis dan mengira, sebaliknya mahu mereka membesar sebagai manusia yang tahu menghormati orang lain dan mempunyai empati.
“Usaha ini tentunya memerlukan dukungan ibu bapa, guru dan seluruh masyarakat. Apa yang diajarkan di sekolah perlu terus disuburkan di rumah, kerana anak-anak belajar bukan hanya melalui apa yang kita pesan tetapi juga melalui apa yang mereka lihat setiap hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan pandangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berhubung gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.
“Kebimbangan ini, mengingatkan kita bahawa usaha membentuk keperibadian anak-anak tidak boleh menunggu sehingga mereka meningkat remaja,” katanya.
Pada 18 Nov, Tuanku Muhriz menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan gejala sosial dalam kalangan generasi muda dan ia mendorong kepada pembangunan Modul Aulad Sejahtera sebagai usaha awal membentuk keperibadian, menyemai nilai murni serta memperkukuh jati diri anak-anak bermula pada peringkat prasekolah.
Baginda bertitah modul itu diperkenalkan susulan gejala sosial yang semakin membimbangkan, termasuk penyalahgunaan dadah, kegiatan merempit dan pelbagai perlakuan negatif yang boleh merosakkan masa depan generasi muda.
Sementara itu, Fadhlina berkata melalui Modul Aulad Sejahtera, sebanyak 8,365 murid prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan, bakal menerima manfaat melalui pendekatan yang memberikan perhatian kepada pembentukan adab, nilai murni, kesejahteraan emosi dan perkembangan sosial mereka.
Beliau turut berharap usaha yang dimulakan di Negeri Sembilan itu dapat menjadi contoh dalam membina generasi berilmu dan beradab.
-- BERNAMA