Ringkasan AI
- Yayasan Peneraju menyasar melahirkan 100,000 bakat kepimpinan menjelang 2030 untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
- Program kepimpinan YP menekankan pembangunan pemimpin profesional dan perniagaan, dengan lebih 1,500 alumni menunjukkan minat meningkatkan keupayaan kepimpinan.
- YP turut menyasarkan pembangunan lebih 2,000 bakat Bumiputera dalam reka bentuk cip semikonduktor sepanjang RMK-13 bagi memperkukuh penguasaan negara dalam bidang tersebut.
KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju (YP) menyasar mewujudkan 100,000 bakat berpotensi kepimpinan menjelang 2030 bagi melahirkan lebih ramai pemimpin yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha itu penting bagi memastikan Malaysia bukan sahaja memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah individu yang mampu mengenal pasti peluang, memimpin perubahan dan mencipta nilai dalam sektor profesional, perniagaan serta komuniti.
Katanya, pembangunan kepimpinan perlu diberi perhatian seiring usaha negara beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang memerlukan tenaga kerja produktif, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal positif apabila berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, manakala pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 5.6 peratus.
Ekonomi negara diunjurkan berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, namun cabaran utama adalah memastikan pertumbuhan itu turut meningkatkan pendapatan rakyat, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan membuka lebih banyak peluang ekonomi.
“Perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan turut mengubah landskap pekerjaan, sekali gus menuntut tenaga kerja yang mampu belajar, menyesuaikan diri dan berinovasi,” katanya ketika ditemui media pada majlis Yayasan Peneraju (YP) Leadership Conference 2026 di KLGCC Convention Centre, di sini, semalam.
Akmal berkata program kepimpinan Yayasan Peneraju bertujuan membangunkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan berdasarkan kompetensi serta tahap perkembangan kerjaya peserta.
Program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan pemimpin profesional yang mampu meningkatkan produktiviti organisasi serta pemimpin perniagaan yang membina perusahaan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.
“Sejak program kepimpinan itu diperkenalkan awal tahun ini, lebih 1,500 alumni menyatakan minat untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan masing-masing bagi membolehkan mereka memikul tanggungjawab lebih besar dalam industri dan komuniti,” katanya.
Dalam sektor semikonduktor, YP menyasarkan untuk membangunkan lebih 2,000 bakat Bumiputera dalam bidang reka bentuk cip bahagian hadapan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi menyokong usaha negara meningkatkan penguasaan dalam reka bentuk, penyelidikan dan harta intelek.
Sementara itu, pada majlis sama, Dr Izza Arsyika Abdul Rahim menerima Anugerah Emerging Community Leader (Social Impact) bagi mengiktiraf sumbangannya dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi bidang perubatan, pendidikan dan kesukarelawanan.
Anugerah itu mengiktiraf usaha beliau mewujudkan impak positif serta mampan kepada komuniti, khususnya menerusi inisiatif kesihatan dan khidmat kemasyarakatan yang dilaksanakan merentasi sempadan negara.
Izza Arsyika menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu penghormatan besar yang turut menyuntik semangatnya untuk terus menyebarkan kesedaran kesihatan serta memperluas khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja dan lebih bersemangat untuk meneruskan aktiviti serta kerjaya profesional sebagai doktor dan pensyarah perubatan bagi menyebarkan kesedaran, khususnya berkaitan kesihatan.
“Saya sangat teruja dan berbesar hati menerima penganugerahan ini daripada Yayasan Peneraju. NGO saya mempunyai sebuah klinik di Phnom Penh, Kemboja.
"Alhamdulillah, dengan bantuan Yayasan Peneraju saya kini dapat menyumbang kepakaran sebagai doktor pakar kepada masyarakat,” katanya.