SHAH ALAM: Sebanyak 154 ajaran difatwakan sebagai sesat di negara ini sejak tahun 1950 hingga kini.

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, kerajaan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi keselamatan dan pihak berkepentingan di peringkat Persekutuan atau negeri bagi mengesan serta membanteras kumpulan seperti itu.

“Kerajaan tegas mengambil tindakan bagi mengelak penularan ajaran yang terkeluar daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

“Ini termasuklah melaksanakan kajian ke atas ajaran yang meragukan bagi tujuan pemfatwaan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kumpulan ajaran sesat berdasarkan peruntukan akta atau enakmen jenayah syariah negeri,” kata Unit Komunikasi Korporat JAKIM kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, bagi mengelak penularan ajaran sesat, JAKIM turut melaksanakan tapisan ke atas penceramah dari dalam dan luar negara melalui sistem tauliah mengajar agama oleh Majlis Agama Islam negeri atau Pejabat Mufti negeri.

Dalam pada itu, JAKIM kerap melaksanakan program dakwah kepada masyarakat melalui aktiviti seminar pendidikan fatwa, khutbah Jumaat dan Forum Perdana Ehwal Islam bertujuan memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat.

Mengulas lanjut mengenai ajaran sesat Suhaini Mohammad atau SiHulk, katanya, setakat ini hanya ada satu tangkapan membabitkan pengikut ajaran itu di Melaka pada Jun lalu.

Difahamkan, lelaki disyaki pengikut ajaran sesat itu ditahan ketika mahu bergabung dengan pengasasnya yang bersembunyi di New Zealand.

Lelaki itu ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi melumpuhkan ajaran tersebut di rumahnya dekat Jasin.

“Meskipun negara New Zealand berada di luar bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, sesi advokasi akan diberikan kepada masyarakat Islam Malaysia di sana.

“Malah video pengikut ajaran ini yang dimuat naik di media sosial akan terus dipantau untuk tindakan penguatkuasaan,” tegas JAKIM.

Pada Julai lalu, ajaran SiHulk kembali menjadi sebutan masyarakat selepas tular beberapa video memaparkan pengikut ajaran itu mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Salah satu video melibatkan seramai lima individu yang dipercayai merupakan sebuah keluarga menerusi akaun Facebook Nurul Sakinah Noor Hashim. - Sinar Harian