KUALA NERUS: Kehadiran kira-kira 167,000 pelajar antarabangsa di Malaysia ketika ini, menyumbang sekitar RM20 bilion setahun kepada ekonomi negara menerusi perbelanjaan berkaitan yuran pengajian dan kos sara hidup, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) Novie Tajuddin.
Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan EMGS, setiap pelajar antarabangsa secara purata membelanjakan kira-kira RM10,000 sebulan, sepanjang tempoh berada di negara ini.
“Dengan jumlah 167,000 pelajar antarabangsa yang ada di Malaysia pada hari ini, ia memberikan impak kira-kira RM20 bilion setahun, kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, jika mereka belajar di universiti di Terengganu seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), masyarakat sekeliling turut menerima impak sosial dan ekonomi yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malaysian Cultural Discovery Community Immersion Program di Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam.
Novie berkata kehadiran pelajar antarabangsa, bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi pendidikan tinggi, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat termasuk perniagaan makanan dan perkhidmatan.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia kini diiktiraf sebagai antara 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia, sekali gus membuktikan negara ini semakin menjadi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.
“Sebelum ini hanya empat negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada sering menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa, namun kini Malaysia turut berada dalam senarai berkenaan.
“Ini menunjukkan kita sudah menjadi pesaing dalam pendidikan tinggi dunia,” katanya.
Novie berkata jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia meningkat kira-kira 23 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus menunjukkan pertambahan minat pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di negara ini.
“Maknanya, pelajar antarabangsa yang datang setiap tahun menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus untuk belajar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata Malaysia menyasarkan untuk mencapai 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035, seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia bagi tempoh 10 tahun.
“Sekarang kita baru mempunyai 167,000 pelajar. Insya-Allah, banyak perkara yang kita lakukan dan ini baru satu daripadanya.
“Kita akan pergi ke seluruh bahagian dunia, lebih kurang tujuh hingga lapan rantau untuk mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Novie berkata lima negara utama yang menyumbang pelajar antarabangsa ke Malaysia ketika ini ialah China, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.
Beliau berkata sebahagian besar pelajar antarabangsa, terdiri daripada pelajar pascasiswazah manakala jumlah keseluruhan itu merangkumi pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
-- BERNAMA