KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan memandangkan kalangan pelabur memantau rapat perkembangan di Asia Barat serta pergerakan harga tenaga global.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata keupayaan FBM KLCI untuk kembali meningkat dan bertahan di atas paras psikologi 1,700 akan kekal menjadi rujukan teknikal penting, terutama selepas indeks itu ditutup pada 1,698.51 mata pada Jumaat.
Advertisement
“Jika konflik geopolitik kekal meruncing, turun naik pasaran yang ketara dijangka berterusan kerana pelabur menilai semula implikasi makroekonomi yang lebih luas, termasuk tekanan inflasi yang semakin kuat serta kemungkinan kesan ke atas fiskal susulan subsidi bahan api yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berpendapat paras sokongan terdekat bagi FBM KLCI mungkin sekitar julat 1,675 hingga 1,685 sekiranya konflik geopolitik terus memuncak.
Pada masa sama, tumpuan pelabur juga akan terarah kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS)(FOMC) yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Mac.
“Bagi pasaran, kebarangkalian untuk kadar faedah dikekalkan adalah hampir 100 peratus.
“Bagaimanapun, pelabur juga akan meneliti Ringkasan Unjuran Ekonomi serta ulasan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell bagi mendapatkan petunjuk mengenai trajektori dasar monetari AS akan datang,” katanya.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia susut di bawah paras psikologi penting 1,700 apabila laporan berkaitan geopolitik terus menjejaskan sentimen pasaran selepas Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, Mojtaba Khamenei, memberi isyarat bahawa Selat Hormuz akan kekal ditutup.
Konflik yang meruncing di Timur Tengah mendorong harga minyak mentah Brent kembali menghampiri US$100 setong, menandakan kali kedua penanda aras minyak global itu melepasi paras tersebut minggu ini dan meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap aliran tenaga melalui Selat Hormuz.
Selasa lepas, Presiden AS Donald Trump memberi isyarat bahawa konflik dengan Iran mungkin berakhir tidak lama lagi.
Bagaimanapun, konflik yang berterusan itu terus memberi tekanan kepada pasaran ekuiti, walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dilaporkan bercadang untuk melepaskan 400 juta tong minyak.
Krisis turut meningkat susulan serangan terhadap kapal tangki di perairan Iraq ekoran konflik antara AS dan Iran.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 12.16 mata kepada 1,698.85 daripada 1,718.06 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 117.99 mata kepada 12,249.42, Indeks FBM Emas susut 121.53 mata kepada 12,405.83, Indeks FBM Mid 70 menguncup 71.39 mata kepada 17,031.94, Indeks FBM Emas Syariah kurang 76.88 mata kepada 12,129.92, manakala Indeks FBM ACE turun 24.33 mata kepada 4,375.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 369.79 mata kepada 20,418.26; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 3.02 mata kepada 175.27, manakala Indeks Tenaga naik 1.83 mata kepada 797.10 dan Indeks Perladangan meningkat 195.75 mata kepada 8,444.19.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.71 bilion unit bernilai RM19.38 bilion daripada 17.29 bilion unit bernilai RM18.69 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 11.15 bilion unit bernilai RM18.18 bilion daripada 11.08 bilion unit bernilai RM17.45 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran sebanyak 4.87 bilion unit bernilai RM587.45 juta berbanding 4.29 bilion unit bernilai RM550.73 juta pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula berkurangan kepada 1.67 bilion unit bernilai RM606.73 juta daripada 1.90 bilion unit bernilai RM571.54 juta.
-- BERNAMA