KUALA LUMPUR: Laman web tempahan hotel terkenal, Agoda mengumumkan sebanyak 174 penginapan di Malaysia tersenarai sebagai pilihan tertinggi bagi pelancong antarabangsa.

Ini melayakkan Malaysia berada di tangga kelima negara yang memenangi Anugerah Agoda Gold Circle (GCA) ke 14, baru-baru ini. 

Menurut Agoda, Malaysia menduduki tempat kelima dengan 174 hotel paling mendapat perhatian ramai pelancong.

Anugerah Gold Circle tahun ini disampaikan kepada lebih daripada 2,000 hartanah dalam 41 pasaran sekali gus membuka peluang perjalanan dikenali di peringkat antarabangsa.

Selain Malaysia, Thailand mengekalkan tempat teratas untuk tahun keempat berturut -turut manakala Taiwan melonjak ke tempat kedua diikuti oleh Jepun.

Sementara itu, India memasuki senarai teratas untuk kali pertama manakala Korea Selatan, Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, dan Vietnam mengekalkan tempat mereka dalam kedudukan sepuluh teratas.

Di samping itu, China mencatatkan jumlah hartanah tertinggi yang memenangi anugerah selama empat tahun berturut diikuti Filipina, Thailand, Jepun, Taiwan, Maldives, Vietnam, Indonesia dan Korea Selatan.

Agoda memaklumkan bahawa anugerah diberikan kepada hartanah yang telah membuktikan lokasi mereka antara yang terbaik, memberikan nilai yang sangat baik, harga, kecemerlangan perkhidmatan serta fleksibiliti kepada tetamu.

Naib Presiden Rakan Perkhidmatan Agoda, Liyana Jamil, dalam kenyataan memaklumkan kesemua hotel memberi kerjasama yang proaktif.

“Kesemua hotel bekerja secara proaktif dengan Agoda untuk memenuhi peluang yang sentiasa berkembang kepada rakan kongsi dan bukan sahaja menetapkan tanda aras baru untuk jenama mereka tetapi juga industri,” katanya.

Liyana berkata tahun demi tahun, Anugerah Gold Circle membuka peluang kepada Agoda untuk mengenali rakan kongsi sekali gus memperluaskan sempadan perkhidmatan dan perhotelan.

Sementara itu, senarai pemenang akan dipaparkan di halaman depan laman sesawang Agoda bermula 1 Disember hingga 31 Disember beserta lencana Anugerah Gold Circle Digital.