KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis merumuskan bahawa, terdapat 18 kecederaan dan parut di badan remaja perempuan sindrom down dikenali Bella, berhubung kes pengabaian dan penganiayaan membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Hakim, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32 selaku perayu, untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara terhadapnya.

Ketika membaca keputusan penghakiman itu, hakim ini berkata, perkara itu dibuktikan oleh saksi-saksi perubatan bahawa kecederaan dialami Bella, bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri.

Oleh itu katanya, dapatan hakim mahkamah sesyen yang memutuskan Siti Bainun bersalah, ialah tidak terkhilaf ketika memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu.

“Mahkamah mendapati, semua keterangan yang dikemukakan menjuruskan kepada Siti Bainun, merupakan orang yang menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi kepada Bella.

“Setelah meneliti keterangan dua saksi yang amat dipertikaikan oleh pembelaan, adalah sukar untuk membuat dapatan bahawa, mereka telah mereka-reka cerita terhadap perayu.

“Sedangkan keterangan mereka disokong oleh saksi perubatan yang secara konsisten mendapati, kecederaan Bella adalah bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri,” katanya.

Dua saksi tersebut ialah saksi pendakwaan (SP) kelima, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood dan SP8, rakan Siti Bainun, Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam.

Selain itu, Noorin berkata, disebabkan mangsa merupakan kanak-kanak istimewa, keterangan saksi secara keseluruhannya, telah melengkapkan naratif kes bahawa Bella telah dianiaya dan diabaikan sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan.

Menurutnya, menerusi keterangan pembelaan, perayu menyatakan mangsa telah mengalami lecuran, dalam satu kejadian sahaja.

Sebaliknya katanya, mahkamah mendapati pembelaan perayu berlawanan dengan naratif keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Saksi-saksi pakar pendakwaan menyatakan, selepas pemeriksaan, kecederaan yang dialami mangsa bukan kecederaan yang terhasil oleh satu insiden sahaja, sebaliknya berlaku dalam masa-masa berbeza,” katanya.

Susulan itu, Noorin berkata, dapatan hakim mahkamah rendah mengenai kejadian yang sebenarnya tidak berlaku, itu tidak wajar diusik Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, ia disebabkan hampir semua alasan yang dikemukakan perayu merupakan ulangan isu yang ditimbulkan dalam perbicaraan. - Sinar Harian