JOHOR BAHRU: Seramai 184 individu ditahan dalam serbuan bersepadu Operasi Noda Khas dan Ops Hibur di seluruh negeri ini, malam tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, kesemua individu yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 21 tahun hingga 64 tahun.

Katanya, operasi dijalankan bermula jam 12 malam sehingga 5 pagi.
 

“Operasi tersebut melibatkan 23 anggota pegawai kanan polis dan 114 pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor.

“Sasaran serbuan adalah ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen, memberi khidmat pelayan perempuan GRO warga asing dan penyalahgunaan dadah.

“Hasıl serbuan yang dijalankan membabitkan 32 lelaki dan 152 wanita melibatkan pecahan 22 warga tempatan dan 162 warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sasaran serbuan adalah keatas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen, memberi khidmat pelayan perempuan GRO warga asing dan penyalahgunaan dadah. - Foto PDRM Johor

M Kumar berkata, pelbagai perkakasan hiburan seperti pemain DVD, amplifier, komputer riba, alat pembesar suara, mikrofon, dan wang tunai yang dipercayai hasil perniagaan dirampas bagi tujuan siasatan.

“Seramai 48 individu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita warga tempatan, berserta empat lelaki dan 28 wanita warga asing ditahan dibawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

operasi dijalankan bermula jam 12 malam sehingga 5 pagi. - Foto PDRM Johor

Menurut Kumar, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dikehendaki di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kesemua 22 warga tempatan yang ditangkap akan dimohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Manakala 162 warga asing direman dibawah Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.