KUALA LUMPUR: Tiada lagi kawasan di negara ini mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang selepas bacaan di Samalaju, Sarawak turun kepada 100.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Samalaju menurun 10 mata berbanding 118 pada jam 4 petang sekali gus kembali ke kategori sederhana.
Di Sarawak, semua stesen pemantauan lain turut berada dalam kategori sederhana dengan Bintulu mencatat bacaan tertinggi pada 88, diikuti IPD Serian (78), Kuching (77), Sri Aman (75), Samarahan (75), Sibu (73), Sarikei (67) dan Mukah (62).
Di Semenanjung, kualiti udara kekal pada tahap baik dan sederhana dengan Batu Pahat dan Kluang di Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 90, diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur pada bacaan 86.
Seremban merekodkan bacaan 69 manakala Nilai mencatat bacaan 57.
Banting di Selangor dan Indera Mahkota, Kuantan masing-masing memasuki kategori sederhana dengan bacaan 51.
Bagi kawasan dalam kategori baik, Port Dickson merekodkan bacaan tertinggi iaitu 50, diikuti Kota Kinabalu dan Kimanis di Sabah yang masing-masing mencatat bacaan 48.
Secara keseluruhan, Langkawi, Kedah terus merekodkan kualiti udara terbaik di negara ini dengan bacaan IPU 18, diikuti Balik Pulau, Pulau Pinang pada bacaan 20.