KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing memerlukan aplikasi navigasi yang mudah digunakan dan mempunyai standard baik bagi memastikan kelancaran perkhidmatan serta keselamatan ketika memandu.
Timbalan Presiden Kesatuan Pemandu E-Hailing Nasional (NUEW), Muhammad Zakwan Shahruddin berkata, pemandu e-hailing sangat bergantung kepada aplikasi navigasi untuk menjalankan tugas.
Beliau berkata pemandu e-hailing secara purata menerima dua hingga tiga permintaan membawa penumpang dalam tempoh sejam, sekali gus menjadikan aplikasi navigasi antara keperluan penting dalam operasi harian mereka.
Katanya, aplikasi yang tidak mencapai standard baik boleh mengganggu kelancaran pemanduan, terutama jika sistem navigasi atau pemesejannya tidak ringkas dan sukar digunakan.
“Jika sesuatu aplikasi, sama ada platform itu sendiri atau sistem pemesejannya, ia perlu ringkas dan mudah supaya tidak mengganggu fokus pemandu di jalan raya,” katanya mengulas mengenai penggunaan aplikasi navigasi terbaharu TuJu seperti yang disarankan kerajaan.
Jelas Muhammad Zakwan, isu penggunaan telefon ketika memandu juga perlu diberi perhatian, susulan terdapat kes pemandu e-hailing ditahan polis kerana didakwa menggunakan telefon ketika memandu.
Walau bagaimanapun, beliau melihat peralihan ke aplikasi navigasi baharu bukan masalah besar dan proses itu boleh ditangani melalui penyesuaian secara berperingkat.
Katanya, pemandu masih mempunyai pilihan aplikasi navigasi lain seperti Google Maps dan Grab Maps untuk meneruskan perkhidmatan.
“Bagi pandangan kita, kita tidak nampak sangat isu dalam hal ini, cuma mungkin memerlukan masa untuk proses adaptasi,” katanya.