Kementerian Pendidikan hari ini menafikan dakwaan beberapa pihak mengenai Projek Perkhidmatan 1BestariNet yang dikatakan gagal.

Sebaliknya, menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pemasangan peralatan bagi projek itu di kebanyakan sekolah menghadapi kelewatan berdasarkan jadual dalam kontrak kerana isu kelulusan pembinaan yang melibatkan pihak berkuasa tempatan.

"Sebanyak 8,924 dari 8,938 sekolah menghadapi kelewatan pemasangan 1BestariNet," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya kementerian turut berusaha menaik taraf kelajuan internet 1BestariNet supaya sekolah terlibat memperoleh capaian internet yang lebih stabil dengan kelajuan optimum.

Semalam, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata pihaknya akan menjalankan audit susulan terhadap 1BestariNet dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan pelaksanaan projek itu kepada sekolah terlibat.

Keputusan itu dibuat atas permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berikutan banyak rungutan diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa termasuk berhubung kadar kelajuan internet yang rendah.

1BestariNet merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah dengan pelaksanaan fasa pertamanya bermula 2011 membabitkan peruntukan RM663 juta.

Projek 15 tahun itu, yang mempunyai tiga fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion, kini memasuki fasa kedua sejak Julai 2016.

Sementara itu, Mahdzir berkata empat pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sibu yang didakwa dihalang menjawab kertas peperiksaan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 akan dibenarkan mendudukinya secara percuma, jika ia terbukti berlaku.

Beliau berkata pengetua sekolah berkenaan juga akan berdepan tindakan jika didapati bersalah.

Terdahulu, pada sesi perbahasan kementerian itu, Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) berkata beliau menerima laporan bapa pelajar yang mendakwa pengetua sekolah itu menghalang para pelajar terbabit menduduki peperiksaan Matematik kerana dikhuatiri menjejaskan prestasi sekolah.

Keadaan itu berlaku didakwa akibat kegagalan pelajar-pelajar itu dalam peperiksaan percubaan SPM 2016 untuk subjek Matematik sebelum ini, katanya. -- Bernama