Keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan laporan Ketua Audit negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi bakal dicabar di mahkamah.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga anggota Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden PKR di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam permohonan tersebut, Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu perdana menteri untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana dibuat dalam pelanggaran perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Azmin selaku pemohon menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

“Pada asalnya kita dengar PM sendiri telah menegaskan jangan mana-mana pihak tergopoh-gapah untuk membuat sebarang andaian atau tuduhan,” kata Azmin.

“Kita tunggu sehingga Ketua Audit Negara selesaikan siasatan. Tapi sekarang kan dah siapkan siasatan. Dia yang mengarahkankan, ini keterangan yang diberikan Amrin Buang dalam mahkamah. Bahawa dia terpaksa menggunakan Akta OSA atas arahan perdana menteri," tambahnya.

Selain itu, Azmin juga menuntut suatu perintah mandamus bagi memaksa semua responden , pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Sementara itu, Azmin dalam sidang media yang diadakan di lobi mahkamah, berharap mahkamah akan meneliti permohonan yang difailkan, dan membenarkan dokumen-dokumen itu diklasifikasikan semula untuk kepentingan rakyat.