KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kerajaan masih menanggung hutang AS$3 bilion yang dipinjam oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sembilan tahun lepas.

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, yang ketika itu bertugas di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan Dan Aktuari (BPKA), berkata pinjaman tersebut diluluskan oleh kerajaan melalui surat sokongan yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada 2013.

Saksi pendakwaan ke-26 itu juga mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan daripada 1MDB ke mana wang tersebut telah dibelanja dan digunakan.

"Saya mengesahkan 1MDB selaku pihak yang membuat pinjaman berjumlah AS$3 bilion telah gagal untuk membuat bayaran pinjaman seperti terma ditetapkan.

"Hal ini menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang 1MDB ini berdasarkan kepada surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan (Najib)," katanya.

AS$3 bilion adalah wang yang diperoleh daripada bon yang diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investments PJS.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu hutang itu sepatutnya dibayar sepenuhnya pada 2023.

Siti Zauyah juga berkata pihak BPKA bertanggungjawab mendapatkan laporan daripada 1MDB namun mengesahkan sepanjang bertugas di bahagian itu, beliau tidak menerima apa-apa laporan balas daripada pihak pengurusan 1MDB berkaitan penggunaan dana berjumlah AS$3 bilion.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

"Pihak 1MDB bertanggungjawab untuk mengemukakan laporan pelaburan mereka sepertimana tujuan permohonan surat sokongan itu dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan.

"Pihak saya ada berhubung dengan wakil 1MDB pada masa itu, Zahid Taib, untuk mereka memberikan maklum balas mengemukakan dokumen atau laporan kepada Kementerian Kewangan namun pada masa itu, pihak 1MDB tidak mengemukakan apa-apa laporan kepada bahagian saya.

"Saya juga sahkan saya sendiri tidak pernah melihat dokumen perjanjian antara 1MDB dengan pihak Aabar seperti yang dimaklumkan dalam permohonan mereka kerana pihak 1MDB tidak melaporkan kepada bahagian saya pada masa itu.

"Antara dokumen yang diminta secara konsisten adalah laporan kewangan beraudit 1MDB yang perlu mereka berikan salinan kepada pihak Kementerian Kewangan namun dokumen itu gagal dikemukakan oleh pihak 1MDB," katanya.

Siti Zauyah berkata dasar di peringkat kementerian itu menetapkan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang ingin membuat apa-apa perjanjian usaha sama atau pelaburan dengan pihak luar perlu dibentang kepada Bahagian MKD dan Bahagian MKD akan menyediakan kertas untuk mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan sebelum dibentang untuk kelulusan Kabinet.

"Ini adalah dasar dan proses sedia ada. Dalam kes 1MDB, saya sahkan pihak 1MDB tidak mengemukakan laporan untuk mereka membuat perjanjian usaha sama dengan pihak Aabar seperti yang dirujuk dalam keterangan saya hari ini.

"Saya tidak dapat pastikan sama ada 1MDB telah mendapat kelulusan khas daripada Menteri Kewangan tentang perjanjian usaha sama yang hendak mereka jalankan ini," katanya.

Beliau berkata selepas surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, Kementerian Kewangan tidak lagi mengeluarkan apa-apa jaminan kepada syarikat itu.

Berkaitan perjalanan syarikat 1MDB yang diletak di bawah kawalan MKD, Siti Zauyah mengesahkan bahawa tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau Bahagian MKD dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kerana dalam syarikat lain, Menteri Kewangan tidak terlibat secara langsung yang menyaksikan Menteri Kewangan telah melantik diri sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Saya sahkan dalam syarikat MKD yang lain hal seperti ini tidak berlaku," katanya sambil menambah pihak 1MDB sering berkomunikasi terus dengan Najib jika kurang bersetuju dengan permintaan atau pendapat BPKA dalam hal berkaitan surat sokongan AS$3 bilion itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA