KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat strategik negara itu pada Jumaat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan membacakan keputusan berkenaan pada jam 9 pagi.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun ini meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Ia akan diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Pihak pembelaan pula oleh peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Datuk N Sivananthan untuk Arul Kanda.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.

Pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Antara saksi utama dipanggil memberikan keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Najib yang kini menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd dijangka dibawa ke mahkamah menjelang jam 8 pagi.