1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini mengumumkan pelantikan Parker Randall sebagai juruaudit syarikat itu.

Juruaudit sebelum ini, Deloitte Touche Tohmatsu Ltd, menarik diri daripada syarikat itu pada Februari, 2016.

Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata ia sudah mengemukakan borang 11 dan 52 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Jan, 2017 untuk mengesahkan pelantikan itu.

Laman web SSM merujuk kedua-dua borang itu dengan permohonan bagi perubahan nama syarikat.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pihak Parker Randall sedang melakukan pengauditan terhadap beberapa anak syarikat 1MDB.

"Kami (akan) menunggu hasil laporan (audit) itu," katanya pada sidang media di pejabat Perbendaharaan di sini, hari ini.

Parker Randall merupakan firma pengauditan antarabangsa dan menjadi juruaudit keempat dilantik 1MDB selepas Ernst & Young, KPMG dan Deloitte Touche Tohmatsu Ltd.

-- BERNAMA