PUTRAJAYA: Sebanyak lapan lagi karya seni bernilai tinggi, dianggarkan sekitar RM7 juta, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka berjaya diperoleh semula menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, usaha itu direalisasikan menerusi kerjasama erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Advertisement
Beliau berkata, kejayaan itu dicapai melalui Bantuan Perundangan Bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ) dalam usaha berterusan memulihkan aset berkaitan 1MDB.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan memperoleh lukisan-lukisan ini menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Antara karya seni yang dikenal pasti termasuk hasil tangan Henri Matisse, Alexander Calder, Pablo Picasso, William H. Bailey, Raoul Dufy, Salvador Dalí dan Gustave Loiseau.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut berusaha mendapatkan semula hasil jualan sebuah lukisan karya Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira 25.2 juta euro (sekitar RM114 juta).
Menurut Azam, dana daripada penjualan itu kini dalam proses penyitaan pihak berkuasa Amerika Syarikat, dengan usaha pemulihan diteruskan melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland.
Beliau berkata, kejayaan mendapatkan semula karya seni berkenaan adalah sebahagian daripada pencapaian lebih luas Malaysia dalam usaha memulihkan aset 1MDB yang diseleweng.
Sebelum ini, empat karya seni bernilai hampir RM800,000 telah berjaya dipulangkan kepada Malaysia hasil operasi pemulihan aset SPRM.
Karya berkenaan ialah Composition (1953) oleh Joan Miró, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo, Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus serta L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso.
SPRM memaklumkan, kesemua karya seni itu kini disimpan dengan selamat di ibu pejabatnya di Putrajaya sebagai sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.
BERITA LANJUT MENYUSUL