KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bernama melaporkan, ia susulan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu agar Sri Ram digugurkan sebagai pendakwa raya ad-hoc dalam empat kes jenayah yang dihadapi oleh Najib berkaitan 1MDB.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam, yang mengetuai panel tersebut, berkata mahkamah berpandangan tiada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan Najib.

"Kami dapati tiada merit dalam rayuan ini. Oleh itu, kami menolak rayuan ini dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi," katanya yang bersidang bersama-sama dengan Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Feb lalu menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan perbicaraan 1MDB.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi membabitkan antaranya, dana RM2.6 bilion milik 1MDB, meminda laporan audit 1MDB dan pecah amanah berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam menyampaikan keputusan itu, Yaacob berkata aduan Najib bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dicemari dengan elemen campur tangan dalam bidang kuasa penyiasatan itu hanya boleh dijalankan oleh empat pihak berkuasa yang berkaitan dengan empat agensi dan ia bukan dalam bidang kuasa pendakwa raya.

Menurutnya aduan lain oleh Najib ialah pelantikan Sri Ram juga dicemari dengan unsur berat sebelah dan konflik kepentingan berdasarkan kunjungan Sri Ram ke rumah bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta dakwaan beberapa siri perbualan antara mereka.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib dalam prosiding hari ini yang diadakan secara maya manakala Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan.