MALAYSIA
1MDB: Malaysia pulih aset RM39.1 juta milik Jho Low dan keluarga

SPRM berkata pada 26 Jun 2024, DOJ mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi USD100 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura berjaya memulihkan aset berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya berjumlah USD8.57 juta (RM39.1 juta).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemulihan aset itu hasil daripada penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
Menurut SPRM, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat.
“Pemulangan terbaharu ini serta penyelesaian sebanyak USD330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase Co baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion,” menurut kenyataan itu.SPRM berkata pada 26 Jun 2024, DOJ mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi USD100 juta.
“Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih USD1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dipulangkan kepada Malaysia,” katanya.
Menurut SPRM lagi, kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi yang diketuai suruhanjaya itu dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
“Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” menurut kenyataan itu.
Kes 1MDB merupakan antara jenayah kewangan terbesar dunia dan kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk terus membawa pulang wang serta aset yang diseleweng, selain memastikan semua individu serta institusi terlibat dipertanggungjawabkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami