Skip to main content

Malaysia

1MDB mohon kebenaran rayu keputusan Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa dengar saman terhadap firma guaman UK

PUTRAJAYA, 8 Dis -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.  Prosiding tersebut dijalankan melalui sidang video berikutan bekas perdana menteri dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif C
Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 Okt untuk mendengar permohonan kebenaran merayu itu. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman yang difailkan terhadap sebuah firma guaman United Kingdom (UK).

Peguam Lim Zhi Ying, seorang daripada peguam yang mewakili 1MDB, mengesahkan notis usul itu difailkan pada 28 Ogos tahun ini.  

Beliau turut memberitahu bahawa Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 Okt untuk mendengar permohonan kebenaran merayu itu.

Dalam permohonannya, 1MDB memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan dengan menyatakan terdapat persoalan penting berkaitan prinsip umum, yang perlu diputuskan buat kali pertama oleh Mahkamah Persekutuan. 

1MDB mengemukakan 24 persoalan undang-undang mengenai bidang kuasa dan penggabungan  samannya dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu kepada mahkamah berkenaan. 

Pada 20 Ogos tahun ini, panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Alwi Abdul Wahab, K. Muniandy dan Datuk Aliza Sulaiman membenarkan rayuan White & Case LLP, dengan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman 1MDB terhadap firma guaman berkenaan.

Hakim Muniandy yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata syarat di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi penyampaian prosiding di luar Malaysia tidak dipenuhi.

Beliau berkata 1MDB gagal membuktikan bahawa Malaysia jelas merupakan forum yang sesuai untuk mendengar saman itu, sambil menambah bahawa Patrick Mahony, pengarah PetroSaudi International Ltd, ialah warga asing yang menetap di luar Malaysia dan oleh itu tidak boleh dijadikan  “defendan sandaran" yang sewajarnya bagi membolehkan penyampaian prosiding di luar bidang kuasa.

Panel itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggabungkan saman 1MDB terhadap White & Case dengan satu lagi saman berasingan yang difailkan dana kekayaan negara itu terhadap beberapa defendan lain, termasuk Deutsche Bank dan PetroSaudi International.

1MDB memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2024 dengan menuntut kerugian berjumlah USD1.83 bilion dan USD33 juta daripada White & Case dan Mahony.

1MDB mendakwa White & Case membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan berkomplot untuk memudaratkan 1MDB ketika bertindak sebagai penasihat undang-undangnya.

Dakwaan salah laku itu berkaitan dua urus niaga korporat, iaitu usaha sama dengan PetroSaudi International pada 2009 yang dikenali sebagai fasa Good Star, serta penstrukturan semula kepentingan 1MDB dalam usaha sama berkenaan pada 2010, yang didakwa 1MDB mengakibatkan kerugian kewangan yang besar.

Writ saman itu disampaikan kepada White & Case di pejabatnya di United Kingdom, di luar bidang kuasa mahkamah Malaysia, sebelum firma berkenaan memohon supaya penyampaian itu diketepikan serta mendapatkan deklarasi bahawa mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak bantahan White & Case dan memutuskan bahawa mahkamah itu boleh mendengar saman berkenaan kerana saksi perbicaraan berada di Malaysia. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement