KUALA LUMPUR: Ketua peguam bela yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak ditegur apabila dilihat menyerang kredibiliti pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika perbicaraan kes rasuah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat teguran itu apabila Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berterusan bertanyakan soalan kepada Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin yang juga merangkap saksi ke-49 pendakwaan itu.

Antara soalan diajukan Muhammad Shafee adalah mengenai sama ada pegawai penyiasat (Nur Aida) mempunyai pengetahuan bahawa Najib sebenarnya tidak tahu bahawa duit yang diterimanya adalah daripada Tanore Finance Corporation dan tidak tahu siapa pemilik Tanore.

Namun, Nur Aida menjawab berdasarkan siasatan dijalankan, adalah mustahil Najib tidak mengetahui duit yang diterimanya adalah daripada Tanore.

Tetapi pandangan itu disangkal Muhammad Shafee yang menyatakan bahawa itu adalah pendapat peribadinya.

Selain itu, Muhammad Shafee terus mengasak dan tidak dapat menerima jawapan Nur Aida walaupun saksi itu menyatakan 'tidak tahu'  mengenai sumber wang diterima Jasmine Loo Ai Swan daripada Jho Low dengan alasan kes itu (Jasmine Loo) tidak disiasat olehnya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.