KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak pernah memfailkan tindakan sivil terhadap AmBank dari tahun 2015 hingga 2018.

Keterangan itu berikan saksi pendakwaan ke-37, R Uma Devi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin berhubung kes rasuah 1MDB bernilai RM2.3 billion yang dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu.

Menjawab pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Uma Devi yang juga pengurus cawangan bank berkata, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu tidak pernah membangkitkan atau mengadu berkaitan transaksi akaun banknya.

Ujar Uma Devi lagi, perkara itu tidak dibangkitkan meskipun bank mempunyai sistem penghantaran penyata bank setiap bulan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Sri Ram dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.