Hari ini Ahli Pasukan Petugas Khas 1MDB mengadakan pertemuan dengan para pegawai dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Perincian mengenai pertemuan itu boleh dibaca melalui kenyataan media.

Beberapa 'rahsia' besar negara yang jauh daripada pengetahuan rakyat Malaysia terbongkar hari ini.

Antaranya, pihak FBI telah menghantar surat permohonan bantuan bagi menyelesaikan perkara jenayah serta kesudian pihak berkuasa AS membantu untuk membawa semula aset-aset negara yang dibekukan di sana telah dipandang sepi oleh Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2016.

Berikut kenyataan media penuh oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB:


KENYATAAN MEDIA PASUKAN PETUGAS KHAS 1MDB

‘PERTEMUAN BERSAMA FBI DAN DOJ’

Pada 24 Mei 2018 jam 11.00 pagi di Kompleks Pejabat Perdana Menteri, Ahli Pasukan Petugas Khas 1MDB telah mengadakan pertemuan dua hala dengan pegawai-pegawai dari Federal Bereau of Investigation (FBI) dan Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat.

Perbincangan yang dipengerusikan bersama oleh YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail; YBhg. Tan Sri Abu Kassim Mohamed; YBhg. Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull dan YBhg. Dato’ Abdul Hamid Bador telah membincangkan tentang hala tuju dan fokus siasatan 1MDB, permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah ‘Mutual Legal Assistance’ (MLA) dan juga proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di Amerika Syarikat.

Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan pihak FBI yang telah menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada YBhg. Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

Pihak DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Sri Apandi Ali pada 22 September 2017. Walau bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini.

Pihak DOJ dan FBI telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas kerjasama pihak Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia yang baharu setelah tiada apa-apa tindakan berkaitan 1MDB semasa kerajaan sebelum ini.

Hasil daripada mesyuarat ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan. Perjumpaan bagi memberi bantuan akan dijalankan dari semasa ke semasa.

PASUKAN PETUGAS KHAS 1MDB
1. TAN SRI ABDUL GANI PATAIL
2. TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED
3. DATO’ SRI SHUKRI ABDULL
4. DATO’ HAMID BADOR
24 MEI 2018

PUTRAJAYA