NATIONAL
1MDB: Pembelaan Najib tutup kes, mahkamah tetap 21 Okt untuk dengar hujah

Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dalam kes penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB menutup kesnya hari ini selepas memanggil 26 saksi. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menutup kesnya hari ini selepas memanggil 26 saksi.
Ringkasan AI
- Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB menutup kesnya hari ini selepas memanggil 26 saksi.
- Perbicaraan kes ini bermula pada 28 Ogos 2019 dan pendakwaan menutup kesnya pada 30 Mei 2024 selepas mengambil masa 233 hari dengan memanggil 50 saksi.
- Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di cawangan AmIslamic Bank Berhad.
"Pada 30 Okt 2024, mahkamah telah memerintahkan Datuk Seri Najib untuk membela diri dengan prosiding pembelaan bermula pada 2 Dis 2024 dan berakhir hari ini, 6 Mei 2025, yang memakan masa selama 58 hari selepas memanggil 26 saksi," katanya.
Sequerah kemudian menetapkan 30 Sept depan untuk kedua-dua pihak menyerahkan hujahan bertulis dan sembilan hari mulai 21 Okt untuk mendengar hujah.
"Saya percaya hujahan akan memfokus kepada isu-isu utama yang dibangkitkan oleh pembelaan dan saya tidak perlu memberikan arahan lanjut.
"Justeru itu, semua tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan," kata hakim itu sambil mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana membantu mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.
Selain Najib, saksi utama lain yang memberi keterangan ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pegawai penyiasat kes iaitu pegawai polis yang sudah bersara R. Rajagopal serta penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fikri Ab Rahim.
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Kamal Baharin Omar.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan dalam perbicaraan kes jenayah lain iaitu atas dakwaan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Susulan sabitan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan memfailkan petisyen bagi pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami