SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura mengambil tindakan terhadap bekas timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) BSI Bank Ltd, Cawangan Singapura (BSIS) atas kegagalan bank itu memfailkan perintah larangan (PO) mencurigakan berhubung urus niaga berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Raj Sriram yang juga bekas ketua Perbankan Swasta BSIS menerima amaran bersyarat 24 bulan daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Pasukan Polis Singapura dan PO 10 tahun oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Timbalan Pengarah Urusan (Penyeliaan Kewangan) MAS Ho Hern Shin dalam satu kenyataan bersama pada Isnin berkata Sriram (ketika itu) ialah timbalan CEO BSIS dan Ketua Perbankan Swasta.

Ho berkata MAS menarik balik lesen BSIS pada Mei 2016 atas kesalahan serius dan berulang berkaitan kes Pengubahan Wang Haram /Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) .

"Tanggungjawab memastikan institusi kewangan mematuhi undang-undang dan peraturan AML/CFT terletak pada lembaga pengarah serta pengurusan kanannya.

"MAS akan mengambil tindakan terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang mengakibatkan institusi kewangan mereka melanggar undang-undang dan peraturan," katanya.

Menurut kenyataan itu, CAD menjalankan siasatan terhadap Sriram berhubung peranannya dalam urusan perniagaan dan hubungan BSIS dengan anak syarikat 1MDB serta Aabar Investments PJS Ltd, anak syarikat berpangkalan di Abu Dhabi.

CAD mendapati terdapat alasan munasabah untuk BSIS memfailkan STR berkenaan transaksi berkaitan 1MDB seperti termaktub di bawah Notis 1014 MAS mengenai Pengubahan Wang Haram /Pencegahan Pembiayaan Keganasan - Merchant Bank.

-- BERNAMA