Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB) sudah memulakan proses undang-undang terhadap Ahli Parlimen DAP Tanjong berhubung kenyataan yang disifatkan berunsur fitnah.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertindak demikian setelah Ng Wei Aik menuduhnya memberikan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegasnya, fitnah jahat Wei Aik tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa disusuli tindakan undang-undang yang dirasakan wajar dan perlu sebagai pengajaran.

"Justeru, wakil kepada peguam saya (Tetuan Raja Riza & Associates) telahpun cuba menyerahkan notis tuntutan (letter of demand) kepada Wei Aik di bangunan Parlimen.

"Saya akan menunggu pernyataan balas Wei Aik terhadap notis tuntutan ini. Tindakan susulan mengenainya akan diambil setelah saya mendapat nasihat sebaiknya daripada pihak peguam saya," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

BACA: 1MDB: 'Saya mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Weng Aik' - Reezal

Sebelum ini, Reezal menyatakan tuduhan Wei Aik merupakan serangan politik berniat jahat dan tuduhan liar tanpa sebarang bukti atau asas kukuh.



Reezal memaklumkan sudah mula mengambil tindakan undang-undang terhadap Wei Aik berhubung tuduhannya mengenai isu 1MDB. -Gambar fail

Kata Reezal lagi, fitnah dan pendustaan fakta tidak boleh dilihat terus mengakar di dalam senario politik negara.

"Sebagai wakil rakyat, adalah sesuatu yang malang sekiranya kita mahu berselindung di sebalik imuniti sekali gus melambakkan segala tuduhan yang bersifat liar dan palsu," ujarnya.

Reezal turut memberitahu, fitnah Wei Aik yang mengatakan bahawa ARB meluluskan pinjaman berjumlah RM2 bilion kepada 1MDB selepas pelantikannya sebagai Pengerusi ARB adalah keterlaluan.