Sekiranya wujud salah laku dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tindakan tegas akan diambil kepada pihak bertangungjawab.

Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut meminta orang ramai menunggu keputusan siasatan dan bukannya mengadili syarikat berkenaan menerusi media.

"1MDB berhadapan dengan cabaran sukar baru-baru ini. Bagaimanapun kami mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikannya," jelas Najib ketika berucap semasa Forum Transformasi Global 2015 di KL Convention Centre di sini, hari ini.

"1MDB sedang melaksanakan pelan rasionalisasi, yang sekiranya tidak diganggu, akan membolehkan syarikat membayar hutang tertunggak dan menyelesaikan isu aliran tunai yang kini dihadapinya," ujarnya.


Sementara itu Perdana Menteri memberi amaran kedudukan ekonomi global yang tidak menentu ini mungkin berlarutan sehingga beberapa tahun.

"Kejatuhan harga minyak dan komoditi, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan kejatuhan nilai matawang Yuan adalah cabaran yang sukar untuk negara perdagangan seperti Malaysia.

Oleh itu katanya negara harus melihat semula strategi bagi memastikan sasaran jangka panjang Malaysia dapat dicapai.

"Saya akan mengumumkan langkah yang akan diambil dalam pembentangan Bajet 2016 Jumaat ini," kata Najib.