KUALA LUMPUR:Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menzahirkan kebimbangan terhadap ketelusan dan tanggungjawab kerajaan untuk tidak mendedahkan perincian perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$1.4 bilion, atas faktor "klausa kerahsiaan".

Selain itu, Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah G Naidu berkata CIJ turut mempersoalkan keputusan kerajaan mengadakan perjanjian tersebut, dengan memasukkan klausa kerahsiaan yang dianggap CIJ boleh menghalang pendedahan.

"Sudah tentu kerajaan dan para pemain sedar bahawa perjanjian seperti itu akan merosakkan kepentingan awam, akauntabiliti dan ketelusan kerana ia bermaksud kandungan perjanjian mungkin tidak boleh diakses oleh masyarakat.

"Ini sangat berkait dengan unsur penyelewengan yang berlaku di dalam 1MDB, yang mana telah menjadi kepentingan awam.

"Tambahan pula, syarat kerahsiaan yang sah biasanya akan meliputi maklumat penting yang tidak boleh didedahkan (non-disclosure of information) bagi rundingan berhubung syarat-syarat perjanjian, dan ia terbatas sepanjang tempoh rundingan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak boleh mendedahkan perincian perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan Goldman Sachs kepada Ahli Parlimen kerana dikekang dengan terma kerahsiaan.

Jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, ia selari permohonan yang dikemukakan Goldman Sachs dalam proses penyelesaian berkenaan.

Pada Julai lalu, Goldman Sachs dikehendaki membayar AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion), selain memberi jaminan untuk mengembalikan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion) yang disita oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, sebagai pertukaran untuk Malaysia menggugurkan pertuduhan terhadap bank berkenaan.

BACA: Goldman Sachs mohon maaf pada rakyat Malaysia

BACA: TI-M persoal klausa kerahsiaan dalam isu Goldman Sachs

Mengulas lanjut, Wathshlah berkata, kerahsiaan tidak boleh digunakan sebagai "cara mudah" untuk menyekat orang awam mengakses perkara-perkara kepentingan awam.

Beliau menambah, menteri juga dalam jawapan balas gagal memberikan justifikasi jika kepentingan awam diambil kira ketika klausa kerahsiaan dipersetujui.

Justeru Wathshlah menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan "kerahsiaan" sebagai cara mengekang hak kebebasan bersuara.