JOHOR BAHRU: Kes jenayah penipuan dalam talian di Johor meningkat 15.5 peratus kepada 2,079 kes dari Januari tahun ini hingga semalam, berbanding 1,800 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata jumlah kerugian sebanyak RM71.857 juta direkodkan pada tempoh itu berbanding RM57.026 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata belian dalam talian menjadi penyumbang terbesar jumlah kes tahun ini iaitu 485 kes, diikuti pelaburan tidak wujud sebanyak 382 kes, phone scam (368 kes), tawaran kerja (361 kes) dan pinjaman tidak wujud (338 kes).

"Sebanyak 478 kes daripada 2,079 kes telah dilaporkan oleh mangsa kepada National Scam Response Centre (NSRC) bagi tujuan sekatan aktiviti ke atas akaun bank terbabit," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar lebih berwaspada apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Kamarul Zaman berkata orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank yang digunakan suspek melalui aplikasi Semak Mule yang disediakan dalam talian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

"Orang ramai juga diseru agar sentiasa mengikuti laman sosial JSJK seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terkini jenayah komersial.

"Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan segera menghubungi NRC menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek," katanya.

-- BERNAMA