ALOR SETAR: Dua maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan sembilan motosikal di bawah jejambat KM92.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Sungai Petani hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata kedua-dua mangsa yang maut dalam nahas pukul 2.40 petang itu dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 tahun.

"Sebelum kejadian, penunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat kerana hujan lebat. Kesemua mangsa meletakkan motosikal mereka di lorong kecemasan secara dua barisan dan mereka berada di sisi motosikal masing-masing.

"Secara tiba-tiba, sebuah lori yang dinaiki dua lelaki berumur 28 tahun yang bergerak di lorong kiri telah datang merempuh kesemua mangsa dari arah belakang," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, dua mangsa itu yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian, enam lagi cedera manakala tiga lagi individu termasuk pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang maut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat selepas ujian saringan COVID-19 diperolehi. Kesemua mangsa yang cedera juga telah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

"Pemandu dan kelindan lori telah ditahan dan pemohonan reman akan dibuat esok. Ujian saringan air kencing dan alkohol terhadap mereka juga telah dilakukan dan didapati kedua-dua mereka bebas dari pengambilan dadah dan alkohol," katanya.

Adzli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA