JELI: Dua penunggang motosikal maut manakala seorang parah, selepas motosikal mereka merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan-U di Wakaf Zink, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, dua mangsa berusia 17 dan 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Tanah Merah, membuat pusingan-U.

"Tiga buah motosikal dari arah sama (dari arah belakang kereta itu) tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta berkenaan.

"Dua mangsa yang maut di tempat kejadian belum dapat dikenal pasti identiti mereka, manakala remaja berusia 17 tahun yang parah dihantar ke Hospital Tanah Merah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa terdahulu dipercayai mengikuti konvoi motosikal bersama beberapa rakan lain.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakaman video mengenai kemalangan itu tular di laman  media sosial sejak petang tadi.