KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 20 peratus hasil sawit tidak dapat dituai berikutan kekurangan buruh, justeru memerlukan kerajaan memperkenalkan inisiatif tambahan bagi memastikan industri itu kekal mampan.

Pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau berharap perkara itu dapat diatasi dengan segera.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM730 juta untuk sektor perladangan dan komoditi dalam Belanjawan 2024, membolehkan pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi membangunkan industri sawit.

Selain penambahbaikan, katanya beliau turut berharap cukai yang dikenakan terhadap industri sawit dapat disemak kembali.

"Sektor kelapa sawit menghadapi pelbagai tekanan dengan kadar 24 peratus dikenakan untuk pendapatan bercukai kepada syarikat, cukai luar jangka sebanyak tiga peratus, cukai perkhidmatan (SST) 7.5 peratus bagi Sabah dan 5.0 peratus bagi Sarawak.

"Kadar ses semasa pula adalah RM16 setiap tan pengeluaran minyak sawit mentah dan Jabatan Imigresen mengenakan RM2,200 seorang untuk lanjutan levi bagi pekerja yang bekerja melebihi 10 tahun," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai tekanan berterusan ke atas pemain industri yang akan menjejaskan prestasi sektor itu yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

-- BERNAMA