KOTA KINABALU: Sebanyak 22,000 permohonan daripada pemilik kenderaan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan yang memohon kuota tambahan 100 liter telah diluluskan di bawah inisiatif BUDI Diesel setakat ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada lebih 200,000 permohonan yang telah diluluskan di seluruh negara yang meningkatkan kuota diesel bersubsidi diterima daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Amir Hamzah berkata kerajaan menetapkan kuota asas di bawah inisiatif BUDI Diesel pada 200 liter sebulan, namun mekanisme permohonan tambahan disediakan bagi memenuhi keperluan rakyat yang menggunakan bahan api itu dalam jumlah lebih tinggi termasuk peniaga dan penduduk pedalaman.
“Mekanisme permohonan tambahan ini diperkenalkan serentak semasa inisiatif BUDI Diesel dilancarkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel di sebuah stesen minyak, di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut memberi kelonggaran menerusi sistem BUDI Diesel dengan membenarkan permohonan pemindahan kuota daripada pemilik berdaftar kepada pengguna sebenar kenderaan selain menambah baik mekanisme pelaksanaan berdasarkan maklum balas diterima.
Ini, katanya, susulan maklum balas mengenai situasi kenderaan digunakan bukan pemilik berdaftar termasuk kenderaan dibeli oleh ahli keluarga untuk kegunaan ibu bapa atau adik-beradik.
“Ahli keluarga boleh memohon untuk memindahkan kuota daripada nama pemilik berdaftar kepada individu yang ditentukan. Sejak (BUDI Diesel) bermula, saya melihat permohonan pemindahan kuota telah mula diterima.
“Kelonggaran ini diberi bagi memastikan sesiapa yang betul-betul layak dan menggunakan kenderaan tersebut akan mendapat manfaatnya melalui kaedah terbaik,” katanya.
Sementara itu beliau berkata kerajaan turut menerima beberapa lagi maklum balas yang kini sedang dalam pertimbangan, sambil menegaskan setiap mekanisme pelaksanaan perlu mencapai matlamat asal inisiatif termasuk menambah baik sistem berkenaan.
Sejak pelaksanaannya pada 27 Jun lepas BUDI Diesel mendapat sambutan baik yang menyaksikan lebih 238,000 pengguna menikmati manfaat inisiatif berkenaan, katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata masih terlalu awal untuk memberikan angka tepat penjimatan yang dapat direalisasikan daripada pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel kerana kerajaan perlu mengumpul dan mengesahkan data transaksi terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, maklum balas daripada pengusaha stesen minyak menunjukkan terdapat sedikit penurunan dalam jumlah jualan diesel, yang berkemungkinan berpunca daripada berkurangnya pembelian oleh individu sebelum ini tidak layak menerima subsidi.
Namun begitu beliau yakin negara akan dapat meraih penjimatan yang signifikan daripada inisiatif itu berdasarkan pengalaman pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dan BUDI95, bagi membolehkan dana disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan lain.
-- BERNAMA